Giraffe Cafe Kini Lebih Besar di Damansara, Ramai Dah Mula Serbu

4 hours ago 3

Giraffe Cafe & Restaurant terus mengembangkan jenama mereka dengan pembukaan cawangan terbaharu di IOI Mall Damansara. Kafe ini merupakan cawangan kedua selepas outlet pertama mereka di Sunway GEO Avenue, Bandar Sunway.

Pembukaan cawangan baharu ini memberi lebih banyak pilihan kepada pengunjung sekitar Petaling Jaya yang mencari tempat makan santai dengan menu pelbagai dan suasana yang selesa.

Ruang Kafe Yang Luas & Selesa

Dari segi konsep, Giraffe Cafe mengekalkan gaya moden dengan sentuhan kayu yang memberi suasana hangat dan tenang. Ruang dalamannya luas, sesuai untuk pengunjung yang datang berpasangan, bersama keluarga atau dalam kumpulan kecil.

Tarikan utama di sini sudah tentu patung zirafah bersaiz hampir 10 kaki yang diletakkan di ruang utama. Ia menjadi titik fokus dan juga elemen identiti kafe ini. Suasana keseluruhan kafe lebih kepada santai, dengan pencahayaan yang lembut dan susunan ruang yang tidak terlalu padat, menjadikannya sesuai untuk makan lama atau berbual tanpa tergesa-gesa.

Pilihan Menu

Menurut hantaran video dari akaun @eatdrinkklcom menunjukkan menu di Giraffe Cafe direka untuk dinikmati sepanjang hari, dengan gabungan hidangan Barat dan Asia yang mudah diterima ramai.

Antara pilihan utama ialah Pulled Beef Sandwich yang menggunakan daging lembu yang dimasak perlahan sehingga 48 jam. Ia dihidangkan bersama sauerkraut, bawang karamel dan sos barbecue dalam roti focaccia yang lembut.

Gyudon pula menampilkan daging lembu yang diperap dan dimasak bersama sos teriyaki serta minyak bijan, dilengkapkan dengan telur onsen yang separuh masak.

Bagi yang sukakan hidangan berkrim, Squid Ink Risotto boleh menjadi pilihan. Nasi risotto dimasak dengan sotong hitam asli yang memberi rasa laut yang ringan tetapi berlapis, disertakan sotong bakar dan keju Grana Padano.

Chicken Fricassee pula dihidangkan dengan ayam yang diperap paprika, mashed potato, sayur-sayuran dan sos putih yang lembut. Sementara itu, Quesadilla ayam Cajun menawarkan rasa sedikit pedas dengan keju mozzarella yang cair di dalam tortilla buatan sendiri.

Pastri Girrafe Cafe

Selain makanan berat, Giraffe Cafe turut terkenal dengan pilihan pastri yang dibuat segar di dapur mereka sendiri.

Antara yang sering menjadi pilihan pelanggan ialah Biscoff Cromboloni yang berintikan krim Biscoff yang pekat dan manis, serta Pistachio & Rose Croissant yang mempunyai gabungan rasa kacang dan aroma bunga yang ringan.

Untuk pencuci mulut, Giraffe Swiss Roll menjadi salah satu signature mereka dengan corak unik seperti jalur zirafah. Selain itu, Burnt Cheesecake dan Matcha Chocolate Mint Cake juga sering menjadi pilihan untuk mereka yang sukakan kek berkrim dengan rasa yang lebih kuat.

Kopi & Minuman Istimewa

Giraffe Cafe juga memberi penekanan kepada kualiti kopi mereka. Espresso di sini disediakan menggunakan mesin La Marzocco dengan biji kopi single origin dari Brazil, memberikan rasa yang seimbang antara pahit dan manis.

Bagi yang sukakan kopi brew, mereka menawarkan pilihan seperti Ethiopia Sidamo yang mempunyai nota citrus dan madu, serta Sumatra Mandheling dengan rasa lebih pekat dan earthy.

Selain kopi, terdapat juga minuman tanpa kafein seperti Merry Berry yang menggunakan blueberry puree, soda dan daun pudina. Tepache pula ialah minuman berasaskan fermentasi nanas yang sedikit berkarbonat dan menyegarkan.

Tempat Sesuai Untuk Semua Waktu

Giraffe Cafe sesuai dikunjungi pada bila-bila masa sama ada untuk sarapan lewat pagi, makan tengah hari atau makan malam santai. Menu yang pelbagai menjadikan kafe ini sesuai untuk pelbagai citarasa.

Ramai pengunjung juga memilih untuk datang hanya untuk menikmati kopi sambil bekerja atau berbual dengan rakan kerana suasananya yang tenang dan tidak terlalu sibuk.

Giraffe Cafe & Restaurant di IOI Mall Damansara menawarkan pengalaman makan yang santai dengan pilihan menu yang luas. Gabungan makanan, kopi dan suasana yang selesa menjadikannya antara kafe yang sesuai untuk dikunjungi jika berada di kawasan Petaling Jaya.

Maklumat lokasi:

Giraffe Cafe & Restaurant
CC-92, Concourse Floor, IOI Mall Damansara, Persiaran Surian, Tropicana Indah, Petaling Jaya, Selangor

Waktu operasi: 10 pagi hingga 10 malam setiap hari

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |