Selangor Tak Main-Main, Ini 7 Bantuan Bakal Dirasai Rakyat Selangor Bantu Hadapi Kos Sara Hidup

6 hours ago 5

Kerajaan Negeri Selangor tampil dengan satu lagi inisiatif berskala besar yang dilihat mampu memberi sedikit kelegaan kepada rakyat, khususnya dalam berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor, kerajaan negeri memperkenalkan pelan bantuan menyeluruh bernilai lebih RM130 juta yang bukan sahaja tertumpu kepada bantuan kewangan, tetapi turut melibatkan aspek makanan, pendidikan, pengangkutan dan sokongan ekonomi rakyat.

Inisiatif ini dijangka memberi impak terus kepada pelbagai lapisan masyarakat di Selangor, dengan pelaksanaan fasa pertama bermula pada Jun 2026.

Secara keseluruhannya, pakej ini dibahagikan kepada beberapa komponen utama yang dirangka bagi memastikan keperluan harian rakyat lebih terjaga dan teratur dalam situasi ekonomi semasa yang mencabar.

1. Jelajah Ehsan Rahmah

Program jualan murah bergerak ke seluruh DUN Selangor dengan peruntukan sekitar RM5 juta, bertujuan membantu rakyat mendapatkan barangan asas pada harga lebih berpatutan.

2. Gudang Makanan Selangor

Inisiatif ini memberi fokus kepada penstabilan bekalan makanan asas negeri seperti beras, protein dan keperluan dapur dengan peruntukan besar sebanyak RM50 juta.

3. Baucar Kita Selangor

Antara inisiatif yang paling mencuri perhatian, bantuan ini menawarkan RM100 sebulan selama 6 bulan kepada 50,000 penerima terpilih, menjadikan jumlah keseluruhan RM600 seorang.

4. Subsidi Pengangkutan Awam

Seramai 30,000 pengguna bakal menerima subsidi RM30 sebulan selama 6 bulan bagi meringankan kos penggunaan bas, kereta api dan perkhidmatan DRT.

5. Sarapan Percuma Sekolah

Program ini diperkenalkan bagi membantu ibu bapa, dengan penyediaan sarapan percuma untuk pelajar di 873 sekolah seluruh Selangor.

6. Bantuan Sektor Pertanian

Golongan petani, nelayan, penternak dan pengusaha akuakultur turut tidak ketinggalan dengan bantuan antara RM300 hingga RM600 sebulan selama 6 bulan.

7. Pemerkasaan Usahawan Koperasi Selangor

Usahawan kecil dan koperasi menerima sokongan melalui geran pembangunan bagi memperkukuh sektor peruncitan dan logistik negeri.

Siapa Yang Bakal Terima Manfaat?

Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor ini direka dengan fokus yang cukup jelas iaitu untuk memastikan bantuan sampai kepada kumpulan yang benar-benar terkesan dengan cabaran kos sara hidup semasa. Tidak hanya tertumpu kepada satu golongan sahaja, sebaliknya melibatkan pelbagai lapisan masyarakat yang mempunyai keperluan berbeza dalam kehidupan seharian.

Antara penerima utama yang disasarkan termasuk:

  • Golongan B40 dan M40
  • Petani, nelayan & penternak
  • Pelajar sekolah dan ibu bapa
  • Pengguna pengangkutan awam
  • Usahawan kecil serta koperasi

Pendek kata, hampir semua lapisan masyarakat di Selangor akan merasai tempias positif daripada inisiatif ini.

Bila Bermula?

Kebanyakan bantuan di bawah inisiatif ini akan mula disalurkan pada Jun 2026, dengan beberapa komponen lain dilaksanakan secara berperingkat mengikut kategori bantuan.

Bagi Murai, ini dianggap sebagai antara usaha paling menyeluruh yang pernah diperkenalkan di peringkat negeri. Bukan sekadar memberi bantuan tunai, tetapi turut menyentuh aspek asas kehidupan rakyat seperti makanan, pendidikan dan mobiliti harian sesuatu yang memang dekat dengan realiti semasa.

Kalau pelaksanaan berjalan lancar, inisiatif ini sedikit sebanyak boleh memberi ruang ‘bernafas’ kepada rakyat Selangor dalam berdepan tekanan kos sara hidup.

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |