Bella Astillah akhirnya tampil memohon maaf secara terbuka selepas menerima kecaman hebat di media sosial susulan dakwaan mempromosikan jenama yang berada dalam senarai boikot. Penyanyi dan pelakon berusia 31 tahun itu mengakui memahami perasaan marah rakyat Malaysia terhadap kekejaman rejim Israel serta tidak menyalahkan mana-mana pihak atas kecaman diterimanya.
Menurut Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah, dia sedar kemarahan rakyat berpunca daripada keprihatinan mereka terhadap nasib rakyat Palestin yang sedang dizalimi. “Saya faham macam mana rakyat Malaysia marah. Saya tak salahkan mereka 100 peratus. Kalau saya berada di tempat mereka, mungkin saya juga akan lakukan perkara yang sama,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu terbarunya berjudul Akhirnya Kamu, semalam.Bella berkata, dia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan memohon maaf dengan hati terbuka.
“Sebagai manusia biasa, saya mohon maaf. Mungkin saya ada banyak kekurangan dan salah silap. Saya akan sentiasa memperbaiki diri,” katanya yang turut mendedahkan dirinya turut terkesan dengan isu Palestin kerana beberapa aktivis kemanusiaan seperti Zizi Kirana dan Heliza Helmi merupakan rakan rapatnya.
Menjelaskan isu promosi jenama yang menimbulkan kemarahan netizen, Bella berkata segala urusan kerja dan hantaran media sosial diatur oleh pihak pengurusannya. “Memang pihak pengurusan saya yang aturkan. Tetapi saya sudah pun berbincang dengan mereka untuk menangguhkan hantaran dalam media sosial buat sementara waktu dan mereka faham,” jelas ibu kepada dua cahaya mata itu.
Bella turut menegaskan bahawa walaupun terikat dengan kontrak bersama beberapa jenama, dia tetap berusaha menunjukkan solidariti terhadap perjuangan Palestin menerusi perkongsian di media sosial. “Biarpun saya terikat dengan kontrak, tetapi saya masih teruskan menyebar kesedaran tentang Palestin. Saya harap satu hari nanti kita semua dapat menolong mereka sepenuhnya. Setiap orang ada cara yang berbeza, bagaimana mereka hulurkan bantuan atau sebarkan kesedaran tentang isu Palestin,” katanya.
Dalam masa sama, Bella meluahkan rasa simpati terhadap segelintir individu yang sering disalah tafsir niat mereka apabila tampil membantu. “Kadang-kadang saya kasihan tengok kawan-kawan, ada yang beri bantuan tetapi dikatakan cuba menunjuk-nunjuk pula. Ada yang diam, dikatakan tidak peduli pula. Sebaik-baik manusia adalah manusia yang dapat memberi manfaat kepada orang lain. Itu yang saya sedang cuba lakukan sedaya upaya yang mampu,” ujarnya.
Terdahulu, nama Bella Astillah bersama beberapa selebriti tanah air menjadi perbualan hangat apabila didakwa masih aktif mempromosikan produk yang termasuk dalam senarai boikot, sekali gus mencetuskan kemarahan ramai di tengah-tengah kempen solidariti besar-besaran untuk Palestin.