Penyanyi terkenal Indonesia, Afgan bakal kembali menghiburkan peminat di Malaysia menerusi showcase istimewa berjudul Afgan Retrospektif Showcase yang dijadualkan berlangsung pada 5 Disember 2025 di Zepp Kuala Lumpur.
Showcase ini bertepatan dengan pelancaran album terbaharu Afgan yang turut diberi judul Retrospektif. Menurut Afgan, judul itu dipilih kerana ia mencerminkan perjalanan hidup dan kerjayanya sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.
“Makna Retrospektif bagi saya adalah momen untuk melihat kembali apa yang sudah terjadi di masa lalu, menjadikannya bahan pelajaran untuk terus berkembang sebagai manusia yang lebih baik.
Album baharu ini benar-benar mewakili idea itu. Saya melihat kembali perjalanan hidup saya beberapa bulan terakhir, belajar daripada peningkatan yang terjadi, dan akhirnya lahirlah album ini,” katanya.
Kuala Lumpur Rumah Kedua
Mengulas mengenai pemilihan Malaysia sebagai lokasi persembahan, Afgan berkata Kuala Lumpur sudah menjadi rumah keduanya.
“Selain di Indonesia, Malaysia memang sangat istimewa buat saya. Sokongan peminat di sini luar biasa dan saya ingin mereka turut merasai perjalanan baharu saya melalui album ini. Itu sebabnya saya mahu mengadakan showcase di Malaysia.
Saya sangat teruja untuk berkongsi lagu-lagu baharu secara langsung buat pertama kali di sini,” ujarnya lagi.
Bakal Persembah Lagu-Lagu Baharu Retrospektif
Menerusi showcase itu, Afgan bakal mempersembahkan lagu-lagu baharu daripada album Retrospektif dengan susunan muzik asal, agar peminat di Malaysia dapat menikmati pengalaman pertama mendengarnya secara langsung selain rangkaian lagu popularnya yang lain.
“Insya-Allah saya akan memberikan persembahan terbaik. Saya mahu setiap lagu ini memberi makna dan memori tersendiri kepada peminat di Malaysia kerana ia adalah kali pertama mereka mendengar karya ini secara langsung.
Saya sangat menghargai bahawa perjalanan muzik saya telah menjadi sebahagian daripada kisah hidup peminat di sini, sama ada di saat bahagia atau saat sedih.” katanya.
Tiket Afgan Retrospektif Showcase sudah mula dijual bermula 1 Oktober lalu di https://www.golive-asia.com/
Tiket berharga RM1,398 (VIP Box); RM798 (Premium Seat); RM698 (Normal Seat); RM398 (VIP Standing) dan RM358 (General Standing).
Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, peminat boleh melayari laman sosial rasmi Renjana Idea atau mengikuti perkembangan terkini melalui laman media sosial rasmi penganjur.