Menjadi tetamu Allah SWT memang satu anugerah yang sukar digambarkan. MURAI rasa bertuah luar biasa apabila dijemput mengikuti rombongan 1,000 Asnaf anjuran Ikhlas.com, dan lebih istimewa bila dapat mendekati dua asnaf dari Sabah. Kisah mereka betul-betul menarik perhatian kami. Hidup penuh cabaran tapi tetap bersemangat menjejak Tanah Suci buat pertama kali.
Sepanjang perjalanan, MURAI berpeluang menemu bual kedua-dua mereka di Bukit Uhud, satu lokasi bersejarah yang penuh pengajaran. Bukit Uhud terkenal sebagai medan peperangan antara tentera Islam dan Quraisy pada zaman Rasulullah SAW. Setiap sudut di sini mengingatkan tentang keberanian, pengorbanan, dan ketabahan, seolah-olah selari dengan perjalanan hidup kedua asnaf ini.
Mimpi Jadi Nyata: Mohd Herman Bin Daraman
Mohd Herman, 46, berasal dari Sabah, merupakan seorang asnaf yang hidup serba sederhana. Hidupnya dipenuhi cabaran kewangan, setiap hari hanya cukup untuk keperluan asas. Pernah terlintas dalam hati, menjejakkan kaki ke Tanah Suci hanyalah mimpi, sesuatu yang mustahil bagi dirinya.
Namun, satu mimpi membuat hatinya berdebar. Dalam mimpi itu, dia seolah-olah diraih tangan lembut ke Raudhah, Masjid Nabawi, seolah-olah sudah berada di hadapan Rasulullah SAW.
“Masa tu saya terkejut, tapi macam petanda saya akan sampai ke sana… macam ada yang tarik tangan saya ke sini,” kata Herman sambil tersenyum pilu.
Dan mimpi itu akhirnya menjadi kenyataan. Hari yang ditunggu-tunggu tiba, saat Herman melangkah masuk ke Masjid Nabawi dan menziarahi Makam Rasulullah SAW. Hatinya berdebar, mata berkaca, dan sebak yang sukar digambarkan.
“Selama ini saya hanya mampu berselawat dari jauh. Kali ini… saya benar-benar di sini,” luahnya dengan suara bergetar.
Hidup Herman yang serba kekurangan tidak menghalangnya untuk bersyukur. Dia tidak pernah menabung atau meminjam wang belanja ketika tunai umrah ini. Semua urusan menjadi mudah melalui program 1,000 Asnaf Ikhlas.com, di mana dia ditemuduga dan dipilih sebagai salah seorang penerima tajaan penuh.
“Saya tak pinjam duit sesiapa pun. Semua urusan mudah. Allah saja yang tahu betapa bersyukurnya saya,” kata Herman, matanya berkaca menahan sebak.
Herman juga berkongsi pengalaman sepanjang berada di Tanah Suci. Setiap langkah di Masjid Nabawi terasa seperti satu penghormatan, setiap helaan nafas di Raudhah membuatnya tersentuh. Apabila MURAI bertanya tentang perasaan di Bukit Uhud, dia menunduk, tersenyum, tapi mata tetap basah.
“Di Bukit Uhud ni… saya rasa macam belajar tentang pengorbanan. Tentera Rasulullah berjuang habis-habisan, dan saya rasa… saya pun datang dari jauh dengan doa dan harapan yang sama. Hati saya sangat sebak, tapi bahagia yang tak terhingga,” katanya.
Herman menegaskan bahawa perjalanan ini bukan sekadar menunaikan umrah, tapi satu proses menyedarkan dirinya tentang erti kesyukuran, sabar, dan doa yang tidak pernah putus. Baginya, setiap detik di Tanah Suci adalah hadiah yang tidak ternilai, satu pengalaman yang mengubah perspektif hidupnya selamanya.
Kasih Seorang Anak: Selasia & Salmiyah
Di hujung lain rombongan, ibu asnaf Selasia Binti Embai ditemui MURAIdi Bukit Uhud. Impian ke Tanah Suci hanyalah doa yang dipanjat setiap malam.
“Saya selalu fikir orang miskin macam saya boleh sampai ke sini kah… tak sangka Allah dengar doa saya,” bisiknya sambil genggam erat tangan anaknya.
Anaknya, Salmiyah Binti Mulsidi, sanggup bekerja keras dan menabung setiap sen demi menemani ibu tersayang. Walaupun Selasia ditaja penuh oleh Ikhlas.com, Salmiyah tetap beli pakej Super Economy supaya mereka dapat menunaikan umrah bersama-sama.
“Dari dulu saya nak bawa ibu ke Makkah. Bila tahu ada tajaan ni, saya kumpul duit siang malam untuk temankan dia,” kata Salmiyah, suara tersekat-sekat, air mata jatuh.
Apa yang lebih menyentuh hati, Selasia dan Salmiyah tidak sabar menunggu hari esok untuk tunaikan umrah di kota Mekah. Kedua-duanya termenung penuh rasa syukur, berbual-bual tentang impian yang bakal jadi kenyataan. Selasia mengakui, perjalanan umrahnya bersama Ikhlas.com sangat lancar dan penuh perhatian.
“Segalanya mudah, semuanya teratur. Kami sangat bersyukur dan berterima kasih pada Ikhlas.com sebab bagi peluang ni,” kata Selasia sambil tersenyum lebar, menahan sebak.
Di Bukit Uhud, MURAI melihat sendiri, tangan menadah, mata merah basah, hati luluh sebab rasa syukur mereka. Kisah mereka buat kita sedar, rezeki dan jemputan Allah tak pernah salah alamat. Semoga cerita ini menyentuh hati kita untuk terus berbuat baik, sebab siapa tahu, melalui doa atau sedekah kita, satu hari nanti ada insan lain yang dapat peluang menjejak kaki ke Tanah Suci sebagai Duyufurrahman.