“Foto Botak Bukan Raih Simpati”- Elyana Sindir Netizen Tak Faham Derita Pejuang Kanser

3 hours ago 2

Bukan menagih simpati, penyanyi Elyana tampil berkongsi foto berkepala botak demi menyuntik semangat kepada para pejuang kanser yang sedang berjuang di luar sana. Pemilik nama penuh Erneelya Elyana Emrizal, 38, itu berkata, perkongsian yang dimuat naik baru-baru ini dilakukan bukan untuk meraih perhatian, sebaliknya bagi memberi kekuatan kepada pesakit lain yang kerap meluahkan ketakutan kepadanya, terutama dalam menghadapi perubahan penampilan akibat rawatan.

“Itu foto sembilan bulan lalu ketika saya memang botak buat kali entah ke berapa. Baru sekarang saya kongsikan sebab mental saya sudah kuat. Ramai wanita di luar sana yang takut untuk botak terutama selepas dapat tahu menghidap kanser dan perlu menjalani kemoterapi,” ujarnya.

Elyana menjelaskan bahawa ramai wanita berasa seolah-olah hidup mereka berakhir apabila rambut gugur, malah ada yang ditinggalkan suami atau hilang keyakinan diri, lebih-lebih lagi bagi yang baru bergelar isteri atau ibu. Justeru, dia mahu menyebarkan mesej bahawa perjuangan melawan kanser adalah lebih penting daripada kerisauan soal penampilan semata-mata.

“Mereka risau dan saya juga pernah merasai hal yang sama, tetapi saya mahu mereka sedar bahawa botak itu okey dan cantik sahaja. Kalau saya boleh, kenapa orang lain tak boleh? Bukan sahaja wanita, lelaki pun meluahkan kerisauan tersebut sedangkan saya juga bergelut dengan penyakit sama. Jadi mungkin ini cara yang saya mampu bantu untuk menaikkan semangat dan menjadi inspirasi dari jauh,” katanya.

Mengimbau kembali perjalanan peribadinya, Elyana berkata rambutnya mula gugur sejak menjalani rawatan kemoterapi pertama kira-kira 14 tahun lalu. Pada awalnya, dia sendiri sukar menerima kenyataan kehilangan “mahkota” wanita itu, sehingga hanya membiarkan rambutnya gugur sedikit demi sedikit tanpa berani mencukur.

“Dulu saya seperti mereka juga, tak boleh terima kenyataan. Rasa mahkota itu sudah hilang. Saya tak cukur dan hanya biar rambut gugur sehingga tinggal beberapa helai. Saya sendiri tak mampu nak tengok rambut sendiri, sebab itu selalu ‘cover’ dengan topi. Sebagai manusia, perkara itu sangat sedih. Kita dilahirkan sihat tetapi selepas beberapa ketika, disahkan sakit. Memang ‘down’,” katanya lagi.

Julai lalu, Elyana mengejutkan ramai apabila berkongsi foto dalam keadaan botak sekali gus mengundang tanda tanya sama ada kanser yang dihidapinya kembali menyerang. Namun, dalam satu temu bual baru-baru ini, Elyana menegaskan dia tidak lagi mahu berkongsi secara terbuka mengenai penyakitnya di media sosial selepas sering dihujani komen negatif netizen yang membuatkannya hilang semangat untuk terus melawan.

Bagi Elyana, perkongsian foto botak itu bukan sekadar luahan, tetapi satu bentuk sokongan moral buat ribuan pesakit kanser yang sedang berjuang dan memerlukan dorongan untuk terus kuat menghadapi dugaan hidup.

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |