Salman Khan dan Shah Rukh Khan adalah dua aktor Bollywood yang sangat berbakat. Walaupun ramai yang tahu bahawa mereka berdua adalah kawan baik, namun ada satu ketikanya Salman dan Shah Rukh bergaduh teruk kerana seorang aktres jelita.
Nak tahu ceritanya?
Pergaduhan itu berlaku pada parti hari jadi Katrina Kaif pada tahun 2008. Menurut beberapa sumber, pergaduhan tersebut terjadi disebabkan Salman dan Shah Rukh mahu menyelesaikan masalah yang ada di antara mereka.
Laporan turut mendakwa bahawa ketika itu Salman berada di bawah pengaruh alkohol dan mula mengejek Shah Rukh tentang rancangan realitinya iaitu ‘Kya Aap Paanchvi Pass Se Tez Hain?’.
Salman turut mempersoalkan mengapa Shah Rukh tidak mahu membuat kameo dalam filemnya, manakala dia pula boleh membuat kameo dalam filem aktor itu iaitu ‘Om Shanti Om’ dan rancangan ‘Kaun Banega Crorepati (Musim 3)’.
Shah Rukh kemudian membalas dengan mengkritik rancangan Salman iaitu ‘Dus Ka Dum’. Salman yang tidak dapat menerima kritikan itu telah mengancam untuk menumbuk Shah Rukh dan mengatakan dia akan memukul aktor itu di partinya sendiri.
Melihat keadaan menjadi teruk, isteri Shah Rukh iaitu Gauri Khan masuk campur dan memberitahu bahawa dia mahu meninggalkan parti itu.
Baru-baru ini tular kembali isu pergaduhan aktor-aktor ini di Reddit. Menurut individu yang pernah menjadi tetamu di parti hari jadi Katrina, dia mendedahkan bahawa Salman berasa jengkel dengan fakta teman wanitanya mahu bekerja dengan Shah Rukh; pertama ialah Aishwarya Rai dan kedua ialah Katrina Kaif.
“Dalam mood marah, dia (Salman) menukar topik kepada Aishwarya Rai. Di hadapan semua tetamu, dia mula merendahkannya menggunakan bahasa yang kasar.”
Shah Rukh dilaporkan tidak tahan lagi dan meminta Salman untuk bercakap mengenai aktres jelita itu dengan penuh hormat memandangkan dia (Aishwarya) adalah seorang isteri, menantu dan wanita.
“Shah Rukh berkata, “Dia (Aishwarya) isteri orang sekarang, menantu orang dan paling penting dia seorang wanita. Layan dia dan bercakap tentang dia dengan sedikit hormat”, kongsi individu tersebut.
Walaupun Shah Rukh telah diprovokasi, aktor itu cuba menahan diri dan memberitahu Katrina untuk membenarkan dia pulang sebelum pergaduhan tersebut menjadi lebih teruk. Bagi Katrina pula, parti hari jadi itu merupakan parti yang memalukan dan tidak dapat dia lupakan!