Netizen Korek Cari Ciapan Lama Ucap Tahniah Fattah & Fazura, Kini Amira Othman Pula Jadi Isteri Fattah

4 hours ago 2

Bagai satu kebetulan yang tidak disangka, ciapan lama penyanyi Amira Othman pada 2017 kembali menjadi bualan hangat selepas dia kini sah bergelar isteri kepada pelakon popular, Fattah Amin. Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 31, ketika itu menitipkan ucapan tahniah di platform X kepada Fattah dan Fazura yang baru sahaja mendirikan rumah tangga.

“Tahniah Fattah & Fazura, jodoh itu rahsia Allah,” tulis Amira, ucapan ringkas yang kini kembali dikorek semula netizen selepas aktor berkenaan sah menjadi miliknya pada 14 September lalu. Lebih menarik, pengguna media sosial turut menemukan ciapan lain pada tahun sama di mana Amira menulis tentang Fattah dengan seorang lagi selebriti, Neelofa. “Alamak sweet pula Fattah dan Neelofa ni. Hehehehehe #Meletop,” tulisnya ketika itu.

Penemuan ciapan lama tersebut membuatkan ramai peminat teruja, malah ada yang menganggap ucapan Amira pada lapan tahun lalu seakan doa yang akhirnya berbalik kepada dirinya sendiri. Rata-rata netizen menyifatkan peristiwa itu sebagai bukti bahawa jodoh sememangnya rahsia Allah yang penuh dengan kejutan.

“Lapan tahun kemudian jadi jodoh diri sendiri. Sebab itu kena doa yang baik-baik,” tulis seorang pengguna Threads. Tidak kurang juga yang menyatakan Amira awalnya sekadar peminat Fattah, namun akhirnya ditakdirkan hidup sebagai isteri pelakon itu. “Betullah kata Amira dulu, jodoh rahsia Allah. Sekarang memang terbukti,” komen seorang pengikut lain.

Ada juga yang berseloroh dengan menulis, “Member wish, member dapat,” merujuk kepada ciapan Amira yang akhirnya berpihak kepada dirinya sendiri.

Terdahulu, Amira dan Fattah disatukan dalam sebuah majlis indah di pusat peranginan di Sepang, Selangor pada 14 September lalu yang juga bertepatan dengan ulang tahun ke-35 pelakon itu. Untuk rekod, Fattah pernah berkahwin dengan Fazura pada 27 November 2017 sebelum mereka berpisah pada 7 Oktober tahun lalu. Hasil perkahwinan terdahulu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |