Tudung Direntap, Baju Dalam Digarit Tentera Israel, Zizi Kirana Dedah Detik Aib Dalam Tahanan

10 hours ago 6

“Baju bahagian dalam saya digunting sebab dia tak nak ada baju lain.”

Itulah antara detik hitam yang tidak akan dilupakan oleh penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Zizi Kirana, ketika ditahan oleh tentera Israel semasa menyertai misi Global Sumud Flotilla baru-baru ini. Pengalaman yang penuh tekanan itu bukan sekadar ujian fizikal, tetapi juga tamparan terhadap maruah dan akidah sebagai seorang Muslimah.

Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 40, menceritakan bagaimana dia diperlakukan dengan kasar, dipaksa membuka tudung dan stoking sehingga auratnya terdedah. Dalam keadaan ketakutan dan tidak berdaya, dia hanya mampu berdoa agar rejim Zionis menerima balasan setimpal atas kekejaman yang dilakukan terhadap umat Islam.

“Apabila nama saya dipanggil untuk masuk ke imigresen, mereka suruh buka stoking dan kasut tapi saya cakap tak nak buka sebab haram. Namun dia tetap paksa. Dia juga arah saya buka tudung, saya cakap saya Muslim, haram untuk saya buka hijab. Saya pegang tudung saya kuat-kuat walaupun ada orang tarik dari belakang. Kawan-kawan satu kapal saya menangis, mereka jerit supaya saya kuat,” katanya dalam nada sebak ketika ditemu bual.

Dalam keadaan itu, Zizi terus memanjatkan doa agar kezaliman yang dilakukan terhadap umat Islam dibalas oleh Allah. Namun, kekejaman itu tidak berakhir di situ. Tentera Israel yang mengenalinya menerusi media sosial turut memperlakukan Zizi dengan cara yang lebih menghina apabila memaksanya menanggalkan hijab sepanjang berada dalam penjara.

“Dia cakap dia kenal saya sebab tengok di TikTok dan Instagram. Saya pandang dia dengan senyuman sinis, tapi dalam hati saya cakap ‘Ya Allah, inilah makhluk paling zalim di muka bumi yang aku tengah hadap’. Saya perlu tenang supaya emosi saya tak terganggu, sebab kalau saya melawan, mungkin akan memudaratkan diri sendiri,” katanya lagi.

Zizi turut mendedahkan detik memalukan apabila baju dalamnya digunting oleh tentera Israel hanya kerana mereka tidak mahu dia memakai pakaian lain. “Sebelum naik bas ke penjara, hijab saya sekali lagi ditarik. Baju bahagian dalam saya digunting sebab dia tak nak ada baju lain. Kasut dan stoking semua dah dibuka. Sampai ke penjara, mereka suruh tukar pakaian penjara dan betul-betul tak benarkan saya pakai hijab,” ujarnya dengan nada tenang namun penuh trauma.

Walaupun berdepan kekasaran dan penghinaan, Zizi tetap tegas bahawa tentera Israel sebenarnya hidup dalam ketakutan. “Saya boleh nampak dari pandangan mata mereka. Ada masa dalam kapal, ruang sempit, tiada tempat duduk. Saya duduk berhadapan dengan mereka dan bertentang mata. Dalam hati saya cakap, ‘Ya Allah, hapuskan mereka dari muka bumi.’ Dia sampai tanya kenapa saya pandang, saya jawab ‘Apa?’ Mungkin sebab itu saya orang terakhir yang dibenarkan keluar dari kapal,” katanya.

Semalam, akaun Instagram Zizi kembali aktif selepas dia dan 22 lagi aktivis kemanusiaan Malaysia dibebaskan daripada tahanan Israel. Dia memuat naik swafoto dengan ucapan penuh kesyukuran, “Alhamdulillah.”

Kesemua aktivis termasuk Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Ardell Aryana, Farah Lee dan PU Rahmat dihantar pulang ke Istanbul, Turkiye menaiki pesawat komersial bersama aktivis daripada beberapa negara lain.

Misi Global Sumud Flotilla itu meninggalkan parut emosi yang mendalam buat semua yang terlibat, namun bagi Zizi, pengalaman pahit itu menguatkan lagi tekadnya untuk terus memperjuangkan nasib rakyat Palestin, walau dengan apa cara sekalipun.

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |