Menjadi antara aktivis kemanusiaan yang ditahan dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, penyanyi Hazwani Helmi tidak akan melupakan pandangan sinis dan kata-kata biadab tentera Zionis Israel yang menyindirnya sebelum dibawa ke penjara. Pengalaman pahit itu masih segar dalam ingatannya, terutama ketika dia disoal siasat dalam keadaan mata ditutup, seorang diri tanpa tahu apa yang bakal menanti.
Hazwani atau nama penuhnya Nur Hazwani Afiqah Helmi, 28, menceritakan detik mendebarkan itu ketika dia dengan berani menjawab soalan tentera rejim Zionis mengenai tujuan kehadirannya ke Gaza. Dia berkata, tentera tersebut mula menunjukkan sikap angkuh dan menghina sebaik mendengar jawapan tulusnya yang ingin memberi bantuan makanan kepada penduduk Palestin.
“Paling saya tak boleh lupa dan tak sabar nak kongsi dengan rakyat Malaysia, sebelum dimasukkan ke penjara pengganas, saya disoal siasat seorang diri dalam keadaan mata ditutup. Dia tanya kenapa saya nak ke Gaza, saya jawab sebab nak beri bantuan. Dia tanya lagi, bantuan apa, saya kata bantuan makanan,” cerita Hazwani.
Namun, tentera tersebut membalas dengan nada sinis yang menyakitkan hati. “Dia cakap buat apa datang ramai-ramai nak bagi makanan, dan saya jawab, kami nak mendidik dunia. Lepas dia dengar perkataan itu, dia pandang saya dengan senyum sinis dan cakap, ‘welcome to jail’ (selamat datang ke penjara). Waktu itu saya terdiam dan terfikir, adakah kerana mahu bantu orang lapar, kami perlu dipenjarakan?” katanya.
Bagi pelantun lagu Wahana itu, pengalaman ngeri tersebut membuka matanya tentang realiti sebenar penindasan yang dihadapi rakyat Palestin saban hari. Dia berasa hiba dan marah apabila usaha murni membawa bantuan kemanusiaan dianggap sebagai satu kesalahan besar di mata rejim zalim itu.
“Itulah sebenarnya yang rakyat Palestin sedang harungi setiap hari. Mereka tidak buat salah, tidak berdosa, tapi tetap dipenjara, diseksa dan dibunuh. Dunia perlu tahu betapa kejamnya realiti itu,” katanya dalam nada sebak.
Sebelum ini, kesemua 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla telah selamat tiba di Turki selepas ditahan oleh tentera Israel ketika berlayar di zon merah sebelum memasuki perairan Gaza.
Selain Hazwani, antara selebriti lain yang turut menyertai misi berani itu ialah Heliza Helmi, Ardell Aryana dan Zizi Kirana, empat wanita yang bukan sahaja membawa semangat kemanusiaan, tetapi juga kekuatan luar biasa dalam menentang kezaliman dengan keberanian seorang Muslimah sejati.