“Dolla Boleh Kahwin Bila-Bila” – Universal Music Nafi Wujud Kontrak Larangan Berumah Tangga

3 hours ago 4

Pengarah Kanan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng tampil menafikan dakwaan kononnya ahli kumpulan Dolla dikenakan denda sekiranya berkahwin. Menurutnya, kontrak yang ditandatangani oleh setiap anggota Dolla tidak pernah mengandungi syarat yang melarang mereka untuk mendirikan rumah tangga.

“Tak ada sebarang denda sebab dalam kontrak tak pernah ada syarat tak boleh kahwin. Mana-mana anggota Dolla nak kahwin lepas ni pun boleh,” jelas Hermond ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu terbaru Bella Astillah dan Daniesh Suffian berjudul Akhirnya Kamu, semalam.

Mengulas lanjut tentang khabar angin yang mengatakan bekas anggota Dolla, Syasya Ryzal, terpaksa membayar denda kerana berkahwin, Hermond menegaskan perkara itu tidak benar sama sekali. “Kami tidak pernah mendenda Syasya dengan memintanya membayar wang pampasan disebabkan berkahwin. Malah dia masih lagi bernaung sebagai artis Universal Music Malaysia. Cuma haluannya kini berbeza,” katanya.

Dalam masa sama, Hermond turut mendedahkan pihak label sebenarnya terkejut apabila menerima berita perkahwinan anggota Dolla, Sabronzo, bersama DJ Ryan Fieret baru-baru ini, namun pada masa sama turut berasa gembira dengan keputusan penyanyi itu. “Memang terperanjat bila dia beritahu nak kahwin. Tetapi sudah tiba masanya untuk dia berkahwin. Usianya pun sudah mencecah 30-an. Kami sangat gembira untuknya,” katanya sambil tersenyum.

Apabila ditanya mengenai kemungkinan Dolla akan menambah ahli baharu sekiranya Sabronzo hamil kelak, Hermond berkata perkara itu masih belum diputuskan. “Sabronzo takkan keluar Dolla, dia akan bersama Dolla selama-lamanya. Buat masa ini kami belum ada perancangan untuk menambah ahli baharu. Tetapi seandainya Sabronzo hamil nanti, kami mungkin akan keluar dengan Plan B,” katanya.

Perkahwinan mengejut Sabronzo atau nama sebenarnya Wan Sabrina Wan Rosli, 30, bersama DJ Ryan Fieret beberapa minggu lalu mencetuskan persoalan dalam kalangan peminat yang mendakwa dia mungkin melanggar kontrak dengan syarikat rakaman. Namun, penjelasan daripada pihak Universal Music menamatkan segala spekulasi, sekali gus membuktikan tiada sebarang sekatan terhadap kebahagiaan peribadi ahli Dolla.

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |