Pelakon popular Sharnaaz Ahmad tampil dengan nada tegas apabila menyeru agar penjurian Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) dijalankan dengan penuh ketelusan tanpa dipengaruhi pengiktirafan antarabangsa. Bagi aktor berusia 40 tahun itu, kemenangan sesebuah karya di luar negara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menjulang filem yang sama di peringkat tempatan tanpa menilai mutu sebenar naskhah tersebut.
“Saya datang malam ini memang ada perkara ingin disampaikan. Satu hal yang saya harapkan daripada FFM, jangan bila nampak ‘orang itu’ menang di luar negara, kita pun kena bagi kemenangan di Malaysia. Sebaliknya, perincian penjurian kena tumpukan terhadap mutu filem yang dihasilkan, sekali gus usahakan untuk mempertingkatkan lagi penerbitan naskhah tanah air,” katanya selepas majlis perasmian FFM34 dan pengumuman calon Top 5, malam tadi.
Menurut Sharnaaz atau nama penuhnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, apa yang penting ialah kejujuran dalam menilai karya tempatan tanpa tunduk kepada sebarang pengaruh luar. “Pastikan kemenangan diberikan kepada filem berkualiti. Saya tak kisah kalau saya tak menang, asal filem berkualiti diiktiraf. Pemilihan perlu berpaksikan ketelusan, bukan pengaruh luar. Hormati filem kita sendiri,” ujarnya dengan nada lantang.
Dalam masa sama, pelakon filem Blood Brothers: Bara Naga itu turut meluahkan rasa syukur apabila karya lakonannya mendominasi FFM34 dengan 13 pencalonan termasuk 11 kategori utama. “Alhamdulillah untuk kesemua 13 pencalonan membabitkan 11 di bawah tiket Blood Brothers: Bara Naga. Ini semua hasil kerja berpasukan. Tahniah buat semua yang terbabit merealisasikan filem ini termasuk pelakon, kru di balik tabir serta pengarah. Mudah-mudahan kita menang,” katanya.
Dalam kategori Pelakon Filem Lelaki Terbaik, Sharnaaz akan bersaing dengan Qi Razali menerusi filem Babah, Beto Kusyairi (Riversi), Aeril Zafrel (Laknat), dan Tony Eusoff (Mencari Ramli). Menariknya, tiga lagi pelakon utama Blood Brothers: Bara Naga, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya dan Syazwan Zulkifly, turut tersenarai dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.
Filem aksi arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra itu turut mencipta fenomena apabila turut tersenarai dalam kategori Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Sinematografi Terbaik, Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Lagu Tema Terbaik serta Rekaan Kostum Terbaik.
Anugerah berprestij FFM34 dijadual berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, dan akan disiarkan secara langsung di TV2 RTM serta saluran YouTube rasmi FINAS pada 1 November ini jam 8.30 malam.