Bagi sesiapa yang gemar tempat bertemakan alam dan lautan, Singapura bakal memperkenalkan sebuah tarikan baharu yang pastinya menarik perhatian. Mulai 24 Julai 2025, Singapore Oceanarium di Resorts World Sentosa akan dibuka kepada orang ramai. Tarikan ini menggantikan Maritime Experiential Museum sebelum ini, dan tampil dengan konsep yang lebih besar, lebih interaktif dan penuh elemen pendidikan.
Apa yang menarik tentang oceanarium ini bukan sekadar reka bentuk akuarium moden, tetapi juga bagaimana ia menggabungkan sains marin, cerita alam dan kesedaran tentang pemuliharaan lautan. Pihak pengurusan nampaknya benar-benar mahu menjadikan tempat ini sebagai ruang untuk orang ramai lebih memahami ekosistem laut, bukan hanya datang untuk bergambar atau melihat ikan-ikan eksotik.
Pameran Living Oceans
Sepanjang musim pembukaan nanti, beberapa program khas sudah pun disusun. Antaranya, Minggu Penyelidikan dan Pembelajaran dari 25 hingga 27 Julai, yang menawarkan bengkel, ceramah dan pameran berkaitan biodiversiti laut. Pameran Living Oceans, hasil kerjasama dengan Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Sentosa Development Corporation, turut menjadi antara tarikan utama. Di sini, pengunjung dapat melihat sendiri spesimen sebenar dari Muzium Sejarah Alam Lee Kong Chian.
Galeri foto Ties That Bind
Bagi yang sukakan fotografi dan seni visual, galeri foto Ties That Bind mungkin sesuatu yang menarik. Dipamerkan di zon Spirit of Exploration, ia memaparkan hasil karya dua jurugambar terkenal Singapura, Toh Xing Jie dan Michael Aw, yang banyak merakam kehidupan laut dari sudut lebih peribadi dan artistik.
Selain pameran tetap, oceanarium ini juga memperkenalkan beberapa program pengalaman di belakang tabir. Contohnya, pengunjung boleh melihat sendiri bagaimana pasukan penjagaan marin menjaga habitat haiwan laut, termasuk program khas untuk mengenali ubur-ubur dan terumbu karang dengan lebih dekat. Malah, ada juga bengkel berkaitan fosil untuk yang berminat dengan sejarah prasejarah lautan.
Menariknya, pengunjung juga boleh memuat turun aplikasi mudah alih Singapore Oceanarium yang menyediakan pengalaman tambahan seperti ciri realiti tambahan (AR), info pameran serta beberapa akses istimewa sepanjang lawatan.
Secara keseluruhannya, pembukaan Singapore Oceanarium ini memang menandakan satu fasa baru bagi tarikan marin di Singapura. Ia bukan sekadar tempat rekreasi, tetapi juga ruang pembelajaran tentang pentingnya menjaga kelestarian lautan.
Bayaran Kemasukkan
Bagi yang tertanya-tanya soal harga, tiket masuk untuk dewasa (13 hingga 59 tahun) bagi bukan pemastautin Singapura ialah antara S$50 hingga S$55, manakala kanak-kanak (4 hingga 12 tahun) pula antara S$39 hingga S$43, bergantung kepada hari lawatan. Bagi penduduk Singapura yang layak, harga adalah lebih rendah iaitu sekitar S$42 hingga S$49 untuk dewasa dan S$35 hingga S$39 untuk kanak-kanak. Pemastautin perlu menunjukkan bukti alamat ketika pembelian.
Bagi yang merancang bercuti ke Singapura selepas Julai nanti, mungkin ini antara tempat yang boleh dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam itinerari.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.