Pelakon dan penyanyi Bella Astillah memilih untuk mengunci mulut mengenai persoalan masa depannya bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, biarpun desas-desus hubungan mereka terus hangat diperkatakan. Enggan mendahului takdir, Bella menyerahkan soal jodoh sepenuhnya kepada ketentuan Ilahi, sambil menegaskan bahawa sebagai seorang wanita, tidak manis untuk terlalu terbuka berbicara hal-hal peribadi yang menyentuh soal hati.
“Perancangan masa depan saya serahkan kepada Allah. Kalau ada jodoh, alhamdulillah. Bella perempuan, tak manis untuk kongsi apa-apa perancangan masa hadapan. Mohon doakan yang terbaik,” ujar ibu kepada dua cahaya mata itu dengan tenang ketika ditemui di pekarangan Istana Kehakiman.
Kehadirannya di mahkamah bukan sekadar sokongan moral, malah tumpah air mata kesyukuran apabila keputusan berpihak kepada Saddiq. Bekas Menteri Belia dan Sukan itu dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, salah guna harta serta pengubahan wang haram melibatkan dana Armada. Mahkamah Rayuan dalam keputusan sebulat suara mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang sebelum ini dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi.
“Semua orang gembira. Rata-rata rakyat Malaysia mendoakan keputusan hari ini berpihak kepada YB. Alhamdulillah, doa semua termakbul,” kata Bella yang dilihat tidak dapat menahan sebak dengan kemenangan tersebut.
Mengulas peribadi figura politik yang sering dikaitkan dengannya itu, pelakon drama Aku Tanpa Cintamu itu menyifatkan Saddiq sebagai lelaki yang penuh integriti dan tidak mudah goyah dengan dugaan. Jujur, ikhlas dan berani, itulah gambaran yang diberikan oleh Bella terhadap personaliti Saddiq, yang menurutnya tidak pernah bertindak untuk meraih populariti semata-mata.
“Apa yang dia buat selama ini bukan untuk nama, tetapi kerana niat yang bersih. Mungkin ini ganjaran Allah untuk keikhlasan dia selama ini,” luahnya.
Di sebalik teka-teki yang terus berlegar mengenai status sebenar hubungan mereka, Bella memilih untuk kekal profesional, berhati-hati dan menyerahkan urusan jodoh kepada Yang Maha Mengetahui. Namun, sokongan tidak berbelah bahagi yang ditunjukkannya terhadap Saddiq jelas memperlihatkan bahawa hubungan mereka jauh lebih erat daripada sekadar kenalan biasa.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.