Selepas sekian lama menyepi dari pentas utama, kumpulan rap legenda, 4U2C, mengumumkan bakal mengadakan konsert eksklusif yang akan berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya, Selangor pada 15 September depan.
Hampir tiga dekad tidak membuat persembahan di pentas besar, konsert yang diberi nama WE 4U2C adalah platform terbaik buat kumpulan ini kembali membuat ‘comeback’ bagi mengubati kerinduan peminat.
Kumpulan yang pernah mencipta fenomena dalam dunia hip-hop Malaysia pada tahun 90-an dahulu kini kembali dengan tenaga baharu sekali gus memberi peluang kepada peminat untuk menyaksikan keunikan persembahan mereka secara langsung.
Mengangkat tema Bringin’ Back Da 90’s Flava, konsert ini bakal menggamit memori indah gaya dekad 90-an sewaktu nama 4U2C sedang meningkat naik.
Menurut anggota kumpulan 4U2C iaitu Datuk AC Mizal, konsert yang dianjurkan kali ini tercetus hasil daripada idea isterinya, Datin Emylia Rosnaida dan menganggap tawaran daripada pihak Juss Event Sdn. Bhd. tiba tepat pada masanya.
Malah AC serta ahli kumpulan lain berjanji akan melakukan persembahan yang terbaik demi peminat mereka yang hadir pada malam konsert itu nanti.
“Bagi saya itu macam impian jadi kenyataan, saya bersyukur sangat peluang ini datang pada masa yang tepat. Saya dan ahli kumpulan lain janji akan memberikan persembahan yang terbaik buat mereka yang hadir pada malam konsert itu nanti,” katanya.”-kata AC Mizal
Tidak berniat untuk mencipta sejarah baharu tujuan konsert mereka adalah untuk mengembalikan sejarah yang dahulu.
“Kami bukan nak cipta sejarah baharu, sebaliknya objektif kami adalah untuk jadi trendsetter dengan kembalikan sejarah dahulu.
Inilah peluang untuk kami comeback, bukan untuk terus berada dalam pasaran cuma nak tunjuk yang kami boleh jadi trendsetter.”
Konsert WE 4U2C yang dianjurkan oleh Juss Event Sdn. Bhd. ini mendapat kepercayaan serta tajaan daripada syarikat Millennium Group. Manakala syarikat Giant Malaysia merupakan rakan kongsi bagi pengaktifan runcit serta Uncle Jack sebagai rakan rasmi bagi makanan dan minuman.
Harga tiket WE 4U2C ini bermula daripada RM155 (Berpisah Jangan), RM355 (Kembalilah Fiona), RM455 (Video Games), RM505 (Kami Rappers) dan RM555 (Fiona) bagi tingkat bawah. Manakala harga tiket bagi tingkat atas pula, RM255 (Kenangan Cinta & Persahabatan), RM355 (I Miss U), RM405 (Dusta) dan RM505 (Dynamite)
Tiket tersebut akan mula dijual pada 30 Jun ini, melalui platform Ticket Empire dan Fantopia.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.