Murai baru sahaja menerima foto rasmi model terbaharu PROTON X50 2025, dan apa yang boleh kami katakan, perubahan kali ini memang cukup ketara.
Fokus utama pastinya terarah kepada rekaan luaran yang lebih segar dan sporty. PROTON X50 2025 hadir dengan gril hadapan baharu, bampar depan yang lebih agresif, serta spoiler belakang dengan sentuhan lebih dinamik. Tidak ketinggalan, empat saluran ekzos turut menyerlahkan lagi imej sporty SUV segmen-B ini. Pilihan warna dwi-tona serta rim aloi dengan tekstur baharu melengkapkan transformasi luaran yang lebih moden dan bergaya.
Ruang kabin turut menerima peningkatan besar. Material dalaman kini menggunakan sentuhan lembut (soft touch), di samping reka bentuk konsol tengah terapung dan column shifter yang diinspirasikan daripada kereta mewah. Lebih menarik, lampu suasana dengan 72 pilihan warna menjadikan pengalaman pemanduan lebih personal dan eksklusif.
Salah satu ciri baharu yang mendapat perhatian ialah pengiktirafan suara dalam Bahasa Melayu. Ciri ini membolehkan pemandu memberi arahan suara dengan lebih mudah dan mesra pengguna. Ditambah pula dengan paparan infotainmen 14.6 inci yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay, jelas membuktikan komitmen PROTON dalam menawarkan teknologi yang lebih dekat dengan keperluan pengguna tempatan.
Bagi mereka yang berminat, PROTON kini membuka pendaftaran minat di laman web rasmi mereka. Jangan lupa ikuti Proton Cars Official di media sosial untuk maklumat lanjut dan promosi terkini berkaitan PROTON X50 2025.
Secara keseluruhan, PROTON X50 2025 tampil dengan pembaharuan menyeluruh yang bukan sekadar kosmetik, tetapi juga dari segi teknologi dan pengalaman pemanduan.