Janna Nick Akui Menangis Setiap Kali Datang Bulan, Dedah Gagal IVF & Kini Fokus 100% Untuk Hamil

7 hours ago 3

Pelakon Janna Nick mengakui kini memberi sepenuh perhatian terhadap usaha mendapatkan zuriat selepas dua tahun bergelar isteri kepada pelakon berdarah kacukan, Dini Schatzmann. Menyedari dirinya semakin kurang aktif dalam dunia lakonan, Janna menjelaskan keputusannya itu bukanlah kebetulan, sebaliknya satu langkah sedar demi memberi ruang dan tumpuan kepada impian bergelar seorang ibu.

Janna, 30, yang turut dikenali dengan nama sebenar, Nurul Jannah Muner, tidak malu untuk berkongsi secara terbuka tentang perjuangannya dalam proses mencuba untuk hamil atau dikenali sebagai TTC (trying to conceive). Baginya, dengan berkongsi situasi sebenar, ia bukan sahaja menjadi medium kesedaran, tetapi juga satu bentuk perlindungan emosi daripada soalan-soalan yang tidak sensitif berkaitan anak.

Dia menyatakan bahawa apabila seseorang tidak menjelaskan status sebenar, pertanyaan daripada orang ramai, walaupun niatnya baik, boleh menjadi luka yang dalam. Justeru, dia mengambil pendekatan untuk memberitahu secara terus terang bahawa dia sedang berusaha.

Janna turut mendedahkan pernah menangis tanpa pengetahuan suaminya hanya kerana datang bulan, satu reaksi emosional yang mencerminkan betapa dalamnya hasrat dan harapannya untuk memiliki anak. Bahkan, dia pernah menangis teresak-esak memohon agar orang ramai berhenti bertanya soal anak kerana ianya terlalu peribadi dan menyentuh perasaan. Tambah memilukan, Janna turut berkongsi bahawa dia telah menjalani rawatan IVF sejak setahun lalu namun usaha itu belum membuahkan hasil.

Pasangan ini yang mendirikan rumah tangga pada Jun 2023 di sebuah resort indah di Langkawi tidak pernah merancang soal anak sejak awal perkahwinan. Sebaliknya, mereka sentiasa terbuka dan berharap agar rezeki cahaya mata menyinari kehidupan mereka dalam waktu terdekat.

Walaupun bergelar selebriti yang sering diperhatikan masyarakat, Janna memilih untuk memperjuangkan haknya sebagai wanita yang sedang berikhtiar, sambil tetap menggenggam sabar dan doa. Bagi Janna, perjuangan mendapatkan zuriat bukan sekadar fizikal, tetapi melibatkan emosi, harapan, dan kekuatan dalaman yang luar biasa.

Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini. 

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |