Pelakon Datin Atikah Suhaime akhirnya membuka cerita tentang keputusannya berkahwin lewat, yang menurutnya adalah satu langkah bijak demi memastikan masa depan anak-anak terbela dengan lelaki yang tepat. Atikah, 34, menegaskan bahawa wanita berhak memilih siapa yang akan menjadi bapa kepada anak-anak mereka kerana keputusan itu bukan sekadar soal cinta, tetapi juga berkait rapat dengan kesejahteraan dan kestabilan hidup sekeluarga.
Katanya, berbeza dengan anak-anak yang tidak punya pilihan dalam menentukan siapa ibu bapa mereka, wanita masih punya ruang untuk membuat keputusan penting sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Atikah juga meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan seorang suami yang penyayang, memahami dan sentiasa menyokong perjalanan hidupnya. Dalam nada berseloroh namun penuh harapan, dia mendoakan agar anaknya, Lyla Mulan membesar menjadi seorang yang bijak dan kaya seperti bapanya.
Baru-baru ini, Atikah mencuri perhatian apabila berkongsi momen makan malam mewah bersama suami di sebuah restoran Jepun, dengan bil mencecah RM800. Video tersebut pantas menjadi bualan dan dibanjiri komen yang memuji tuah Atikah kerana berjaya berjodohan dengan lelaki berada yang mampu memenuhi setiap kehendak tanpa risau soal kewangan. Ramai wanita melabelnya sebagai ‘wanita bertuah’ dan menjadikan kisahnya sebagai inspirasi.
Atikah sah bergelar isteri kepada Datuk Lokman Teh, Ketua Pegawai Eksekutif jenama penjagaan diri Zaitun, pada 21 Januari tahun lalu dan kini bergelar ibu kepada seorang cahaya mata perempuan yang lahir pada 8 Mac lalu. Walaupun hidup dalam kemewahan, Atikah tidak lupa untuk mengingatkan wanita lain bahawa setiap keputusan yang dibuat hari ini adalah penentu kepada kebahagiaan masa depan, bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk anak-anak yang bakal dilahirkan.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.