Bagi pencinta filem seram Indonesia, Misteri Rumah Darah pastinya menjadi antara filem yang wajib tonton tahun ini. Diinspirasikan daripada episod popular rancangan realiti mistik “Percaya Nggak Percaya” sekitar awal 2000-an, filem ini menghidupkan semula kisah seram klasik dalam bentuk sinematik yang moden dan menegangkan.
Jalan Cerita Sarat Misteri
Mengisahkan tentang Shafeera (lakonan Wavi Zihan), seorang pengacara muda yang dipilih untuk mengendalikan rancangan realiti versi baharu program Percaya Nggak Percaya. Semasa menyelongkar arkib lama, dia menemui sebuah kaset rakaman episod ‘terlarang’ bertajuk “Rumah Darah” diyakini sebuah episod yang tidak pernah disiarkan.
Ketika dia mula menyiasat rakaman mengerikan itu, Shafeera mula diganggu oleh kejadian paranormal yang menakutkan. Bersama rakan bertugas, Dito, mereka menjejaki asal-usul kaset tersebut hingga membawa mereka ke sebuah rumah terbiar yang sarat dengan khabar angin menyeramkan. Namun, penyiasatannya membuka pintu kepada gangguan mistik yang mengancam bukan sahaja kerjayanya, tetapi juga nyawa dan kewarasannya. Filem ini membawa penonton menyelami misteri yang perlahan-lahan terbuka dan penuh dengan teka-teki, gangguan halus serta aura seram yang semakin menggila.
Lakonan & Watak Yang Berkesan
Watak Shafeera dibawakan dengan berkesan oleh Wavi Zihan, yang berjaya menunjukkan perubahan emosi dari seorang wanita berani kepada individu yang dihantui ketakutan dan trauma. Turut dibantu oleh barisan pelakon lain seperti Tyan Anugrah, Emil Kusumo, Diky Chandra, dan Gendhis Maharany, filem ini kukuh dari segi persembahan pelakon.
Sinematografi & Suasana Yang Mencekam
Penggunaan pencahayaan malap, gaya rakaman seperti dokumentari dan elemen visual ala found footage menjadikan filem ini berbeza daripada filem seram tipikal. Ia tidak terlalu bergantung pada ‘jump scare’ sebaliknya membina suasana seram yang lebih perlahan dan mengganggu emosi.
Sound design dan kesan audio yang digunakan juga berjaya menambahkan rasa ‘tidak selesa’ sepanjang tontonan. Penonton benar-benar terasa seolah-olah mereka juga sedang menyiasat bersama Shafeera.
Main Psikologi & Trauma
Selain unsur seram, Misteri Rumah Darah juga menyentuh emosi, tekanan kerja dan pencarian identiti diri. Filem ini seolah-olah menunjukkan bahawa kadangkala ketakutan paling besar bukanlah dari luar, tetapi dari dalam diri kita sendiri.
Perasaan seram bertukar kepada geram selepas mengetahui kejadian sebenar yang berlaku. Rasa kasihan dan sedih bercampur dengan marah dirasai menyebabkan filem ini memberi kesan emosi yang mendalam buat penonton. ‘Plot twist’ dalam filem ini menjawab persoalan penonton tentang apa sebenarnya yang terjadi dan siapa dalang yang menjadikan rumah misteri itu ‘berdarah’.
Penilaian Murai.my
Bagi Murai, filem ini terdapat beberapa babak yang agak mudah dijangka. Jalan cerita yang pada awalnya agak perlahan tetapi berjaya boost semula perhatian penonton pada bahagian tengah penceritaan hingga tamat. Sejujurnya, rupa hantu juga kurang inovatif dan agak klise berbanding filem seram Indonesia yang lain. Jadi, penampilan hantu kelihatan agak klasik dan kurang menyeramkan.
Misteri Rumah Darah adalah gabungan menarik antara emosi dan ketakutan moden. Ia mungkin bukan filem seram paling menakutkan yang pernah anda tonton, tetapi kekuatannya terletak pada cara ia membina ketegangan dan menyampaikan cerita dengan penuh emosi dan misteri. Murai.my melihat filem ini mengandungi konsep unik dimana ia diadaptasi dari rancangan ikonik Indonesia. Suasana seram dibina dengan baik kerana kesan dari bunyi dan pencahayaan, bukan sekadar kejutkan penonton.
Apa pun, penonton perlu menilai dan menyaksikan filem ini di pawagam berhampiran pada 26 Jun 2025 ini
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.