“Saya Takkan Ulas, Ini Tuduhan Berat”-Naim Daniel Serah Diri Pada Mahkamah

8 hours ago 5

Berhadapan dakwaan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, penyanyi Naim Daniel enggan memberi ulasan panjang lebar agar tidak mengganggu proses perbicaraan di mahkamah. Naim atau nama penuhnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, berkata dia memahami persoalan yang timbul dalam kalangan orang ramai namun memilih untuk tidak memburukkan keadaan dengan sebarang kenyataan terbuka.

Menurut Naim, beliau menyedari beratnya pertuduhan yang dikenakan dan tidak mahu wujud sebarang percanggahan atau campur tangan luar yang boleh menjejaskan keadilan perbicaraan. Katanya, buat masa ini, fokusnya adalah untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan membersihkan namanya melalui proses undang-undang. Dia turut berharap orang ramai dapat mendoakan agar segalanya dipermudahkan dan berjalan dengan adil.

Mengulas mengenai jadual kerjaya, Naim berkata perkara tersebut masih dalam perbincangan bersama pihak pengurusannya, XO House. Katanya, buat masa sekarang dia hanya mahu menumpukan perhatian terhadap apa yang ada di hadapan mata tanpa sebarang perancangan agresif berkaitan persembahan atau kemunculan umum.

Terdahulu, Naim mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary dalam prosiding tertutup di Mahkamah Sesyen. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Shaharuddin, manakala pihak pembelaan diwakili peguam Mohd. Irwan Sumadi dan Datuk Amirul Ridzuan Hanif.

Mahkamah membenarkan Naim diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan. Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Ogos depan.

Naim sebelum ini ditahan pada 3 Jun lalu selepas disyaki terlibat dalam insiden bersama pelajar perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor. Dia kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil. Kini, segala tumpuan tertumpu kepada perbicaraan yang bakal menentukan nasib salah seorang figura seni terkenal tanah air itu.

Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini. 

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |