“Tak Kisah Kalau Ejen Ali Potong Filem Keluarga Kami”-Syafiq Yusof Tak Mahu Lagi Dibelenggu Takhta Filem No. 1 Malaysia

5 hours ago 5

Pengarah filem Sheriff, Syafiq Yusof, tidak melihat sebarang masalah andai kedudukan filem-filem keluarganya yang selama ini mendominasi carta kutipan tertinggi sepanjang zaman bakal diturunkan oleh naskhah lain. Baginya, persaingan dalam industri perfileman tempatan bukan soal takhta siapa paling hebat, tetapi keberhasilan seluruh industri yang patut diraikan bersama. Bahkan, Syafiq menyambut baik kemungkinan filem animasi Ejen Ali 2 memintas kedudukan filem arahannya mahupun abangnya, Syamsul Yusof.

Dengan nada tenang dan berlapang dada, Syafiq berkata bahawa dia tidak selesa apabila sering dibandingkan dengan abangnya dalam hal kutipan. Ujar Syafiq, dia tidak kisah jika filem Ejen Ali 2 mengatasi filem-filem keluarganya termasuk Mat Kilau, Blood Brothers, mahupun Sheriff, kerana yang lebih penting baginya adalah kejayaan kolektif industri filem Malaysia. Tambahnya lagi, tumpuan seharusnya bukan pada angka atau kedudukan semata-mata, tetapi bagaimana kejayaan-kejayaan ini mampu membuka mata pihak kerajaan dan pelabur untuk lebih menghargai sumbangan dunia perfileman kepada negara.

Syafiq turut menyuarakan harapan agar kejayaan filem tempatan tidak lagi dipandang remeh oleh pihak berkuasa. Baginya, filem bukan sekadar hiburan tetapi juga medium penting dalam membentuk budaya, menjana ekonomi dan memperkukuh jati diri bangsa.

Sehingga kini, takhta filem paling laris dipegang Mat Kilau arahan Syamsul Yusof dengan kutipan RM97.4 juta, diikuti Blood Brothers dengan RM76 juta, manakala Sheriff: Narko Integriti pula di tempat ketiga dengan RM64 juta. Namun, Ejen Ali 2 yang kini sudah meraih kutipan sebanyak RM55.1 juta dijangka bakal menghambat kedudukan tiga teratas, apatah lagi dengan sambutan yang masih hangat di pawagam dan perancangan tayangan di Indonesia.

Filem animasi yang diarahkan Usamah Zaid Yasin itu dilihat sebagai simbol kejayaan karya lokal bukan saja dalam kalangan penonton cilik, tetapi juga membawa harapan baharu untuk genre animasi tempatan melonjak ke peringkat antarabangsa.

Di sebalik kehangatan persaingan kutipan dan kedudukan, Syafiq memilih untuk memandang jauh ke depan, bukan sekadar mengekalkan legasi keluarga Yusof Haslam, tetapi mendorong perubahan persepsi terhadap nilai sebenar seni perfileman di mata negara.

Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini. 

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |